
Wanita lumpuh terselamat dalam kebakaran
KEPALA BATAS 27 Jan. - Ramlah Talib, 59, hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda kerana kedua-dua kakinya lumpuh, tidak menyangka bantuan jiran menyelamatkan nyawanya dari kebakaran.
Bagaimanapun, sebahagian besar rumahnya di Kampung Kota Aur di sini musnah dijilat api, malam tadi.
Ketika kejadian pukul 8.30 malam itu, Ramlah tinggal bersendirian dan berjaya diselamatkan jiran yang menyedari api mula marak di bahagian dapur rumahnya.
Ramlah ketika ditemui memberitahu, sewaktu kejadian, dia sedang leka menonton televisyen sebelum mendengar suara riuh-rendah di pekarangan rumahnya.
''Mak cik langsung tidak menyedari apa yang berlaku sehinggalah tiba-tiba beberapa orang jiran masuk ke rumah dan membawa mak cik keluar.
''Selepas berada di luar, mak cik terkejut melihat sebahagian besar rumah sudah hangus terbakar. Kalau mereka (jiran) tidak datang, mak cik mungkin sudah mati,'' katanya sebak.
Sementara itu, Penjaga Balai Bomba Kuala Muda, Khozairi Ahmad berkata, dua jentera bersama 12 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 8.40 malam.
''Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kami mendapati kira-kira 60 peratus rumah mangsa sudah terbakar dan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan,'' katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja memadam kebakaran turut dibantu empat jentera sukarela dengan 12 anggota.
Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur rumah dan api merebak dengan cepat memandangkan struktur yang kebanyakannya dibuat daripada kayu.
''Kerugian dianggarkan sekitar RM50,000 dan kita sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca dan jumlah sebenar kerugian,''' tambahnya.



0 comments:
Post a Comment